fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di Argentina: Seorang maut, ratusan dipindahkan

Foto Hiasan

BUENOS AIRES, 3 Februari- Seorang lelaki meninggal dunia akibat kebakaran hutan di kawasan pelancongan El Bolson, di gunung Patagonia, Argentina.

Gabenor wilayah Rio Negro, Alberto Weretilneck berkata ratusan orang dipindahkan dan kebakaran itu telah memusnahkan kira-kira 3,000 hektar hutan.

"Tragedi ini menyebabkan satu kematian, memusnahkan ribuan hektar hutan dan menyebabkan kerosakan besar kepada komuniti kami," katanya di sini.

Datuk Bandar El Bolson, Bruno Pogliano, memberitahu penyiar TN bahawa seorang lelaki meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung kerana menghirup asap kebakaran hutan di kediamannya.

Lebih 800 orang telah dipindahkan, menurut kerajaan wilayah Rio Negro.

Kebakaran itu mula tercetus pada Khamis di kawasan pendakian Cajon del Azul di Amprale, kira-kira 20 kilometer di utara El Bolson, dan kemudian merebak dengan cepat akibat angin serta suhu panas musim panas.

Darurat telah diisytiharkan pada Jumaat di Rio Negro, melarang pembakaran terbuka dan menetapkan langkah-langkah pencegahan serta pengawasan yang lebih ketat sehingga 30 April. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM