(Gambar yang diambil pada 17 Julai 2023 menunjukkan sebuah kapal perang
Rusia belayar berhampiran jambatan Kerch, menghubungkan tanah besar
Rusia ke Crimea, berikutan serangan yang didakwa oleh tentera Ukraine/Foto AFP)
MOSCOW, 19 Julai- Pihak berkuasa Rusia mengarahkan pemindahan lebih 2,000 orang awam selepas kebakaran berlaku, pada Rabu, di padang latihan ketenteraan di Crimea.
Bagaimanapun punca kebakaran tidak dinyatakan, namun menurut laporan beberapa media Rusia, letupan kedengaran di kawasan itu dan rakaman menunjukkan asap hitam berkepul ke udara.
Berita itu datang beberapa hari selepas Ukraine menggunakan dron bawaan air untuk menyerang jambatan Kerch, arteri bekalan ketenteraan utama dari tanah besar Rusia untuk menguasai Crimea.
"Pemindahan sementara penduduk adalah dari empat lokaliti yang berdekatan dengan medan tentera di daerah Kirovsky," kata Ketua Crimea, yang dikuasai Moscow, Sergei Aksyonov.
Satu bahagian lebuh raya Tavrida yang melintasi semenanjung telah ditutup akibat kebakaran.
Pihak berkuasa sedang melakukan "pemindahan sementara" penduduk dari empat penempatan, tambahnya, yang akan menyaksikan lebih 2,000 orang dipindahkan.
Rakaman menunjukkan kebakaran dengan kepulan asap hitam turut disiarkan dii akaun Telegram akhbar Izvestia.
Dua media dalam talian Rusia turut melaporkan letupan telah kedengaran di kawasan itu selama lebih dua jam.
Sementara itu, Nikolay Lukashenko dari Kementerian Pengangkutan Crimea menerusi Telegram memberitahu laluan bas di antara wilayah telah "diubah hala buat sementara waktu".
Rusia mengambil alih Crimea dari Ukraine pada 2014, satu langkah yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Kiev telah berulang kali berkata ia merancang untuk mengambil balik semenanjung itu.-AFP
(Foto Hiasan)