fb fb fb fb fb

34 orang maut, bas bertembung kereta di Algeria

(Foto AFP)

ALGIERS, 19 Julai- Sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh, manakala 12 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas penumpang dan sebuah kereta di wilayah Tamanrasset, Algeria, awal pagi Rabu.

Menurut agensi pertahanan awam Algeria, bas penumpang berkenaan dilaporkan terbakar, menyebabkan kebanyakkan mereka yang cedera mengalami luka melecur.

Bas itu membawa penumpang antara Tamanrasset dan Adrar, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 2,000 penduduk di barat laut.

Rakaman yang disiarkan oleh media tempatan menunjukkan bas tersebut remuk dan hangus terbakar.

Imej lain dikongsi turut memperlihatkan pasukan penyelamat berada di tempat kejadian.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menjelaskan keadaan nahas maut itu atau apa yang menyebabkannya.

(Foto AFP)

Sementara itu, ketua keselamatan jalan raya negara itu, Nacef Abdelhakim berkata Algeria merekodkan hampir 23,000 kemalangan jalan raya pada 2022, menyebabkan 3,409 orang maut dan lebih 30,000 cedera.

Tamanrasset ialah hab pengangkutan penting untuk pergerakan orang ramai dan penghantaran barangan.

Wilayah itu, berhampiran sempadan Mali dan Niger, juga merupakan titik transit utama bagi pendatang dari sub-Sahara Afrika yang berharap untuk sampai ke Eropah melalui Algeria.

Pada Disember 2020, kemalangan kereta berhampiran Tamanrasset membunuh 20 orang dan mencederakan 11 yang lain, kebanyakannya pendatang Afrika.-AFP

Media Baharu