IRAN, 24 Julai - Tentera Iran pada Rabu telah mengeluarkan rakaman udara yang didakwa menunjukkan sebuah kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) cuba memasuki perairan wilayah Iran, sebelum dilaporkan berpatah balik selepas menerima amaran.
Video yang dirakam dari sebuah helikopter tentera itu disiarkan oleh agensi berita Tasnim milik kerajaan Iran.
"Sebuah kapal pemusnah AS cuba mendekati perairan yang berada di bawah kawalan Iran," lapor Tasnim.
Menurut agensi itu, sebuah helikopter dari Pasukan Penerbangan Tentera Laut Iran yang beroperasi di Wilayah Ketiga ‘Naboot’ telah dihantar ke lokasi kejadian.
Pesawat itu dilaporkan terbang melintasi kapal AS berkenaan dan mengeluarkan amaran agar ia berundur.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh AS berhubung insiden tersebut. -VIORY