ANKARA, 24 Julai – Sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dalam kebakaran hutan di Eskisehir, barat Turkiye.
Kesemua mangsa terdiri daripada lima pekerja perhutanan dan lima anggota pasukan penyelamat.
Menteri Pertanian dan Perhutanan Turkiye, Ibrahim Yumakli berkata, mangsa dilapor terlibat dalam misi memadam kebakaran rentung selepas terperangkap apabila arah api tiba-tiba berubah secara drastik.
Kejadian itu juga menyebabkan 24 yang lain cedera termasuk 14 daripadanya serius dan sedang dirawat di hospital berdekatan.
Kebakaran yang tercetus sejak Selasa merebak dengan pantas di kawasan antara Istanbul dan ibu negara Ankara akibat cuaca panas melampau dan tiupan angin kencang.
Penduduk beberapa kampung telah dipindahkan susulan ancaman kebakaran yang semakin menghampiri kediaman mereka.
Turkiye kini derdepan cuaca luar biasa panas dengan suhu antara 6 hingga 12 darjah Celsius melebihi paras purata tahunan, sekali gus menyebabkan beberapa kebakaran hutan dilaporkan di seluruh negara.