ISTANBUL, 24 Julai - Rundingan damai pusingan ketiga Ukraine-Rusia yang berlangsung di Istanbul, Tukiye diharap dapat menghadirkan sinar baharu ke arah penyelesaian konflik.
Delegasi kedua-dua negara bertelagah itu kembali bertemu untuk rundingan damai buat kali pertama dalam tempoh lebih tujuh minggu.
Rundingan berkenaan direalisasikan ketika tekanan semakin meningkat terhadap Moscow daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mendesak supaya satu perjanjian dicapai atau berdepan sekatan baharu yang lebih keras.
Sebelum ini, dua rundingan yang diadakan pada 16 Mei dan 2 Jun lalu hanya membawa kepada pertukaran ribuan tahanan perang serta mayat tentera yang terkorban tanpa sebarang kemajuan signifikan ke arah menamatkan konflik.
Ukraine menjadikan rundingan kali ini sebagai usaha untuk membuka jalan kepada pertemuan antara Presiden Volodymyr Zelenskiy dan Presiden Vladimir Putin, yang dilihat sebagai kunci kepada sebarang kemajuan besar dalam usaha menamatkan perang.
Namun begitu, Kremlin meredakan sebarang jangkaan terhadap kemungkinan ada kejayaan besar akan dicapai dalam rundingan di Istanbul itu.
Presiden Trump pula dilaporkan telah memulihkan hubungan dengan Zelenskiy selepas perselisihan di White House Februari lalu dan kini menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Putin.
Trump juga memberi amaran akan mengenakan sekatan baharu terhadap Rusia dan negara-negara yang membeli eksportnya jika tiada perjanjian damai dicapai dalam tempoh 50 hari. - REUTERS