BANGKOK, 24 Julai - Thailand bertindak memanggil pulang dutanya dan mengusir duta Kemboja dari Bangkok selepas menyalahkan negara jiran itu atas letupan periuk api yang mencederakan seorang askarnya.
Tindakan tersebut sekali gus memburukkan hubungan kedua-dua negara rentetan pertikaian sempadan yang telah berlarutan sekian lama.
Menurut kenyataan parti pemerintah Pheu Thai, Kementerian Luar Thailand telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Kemboja berhubung insiden tersebut.
Perdana Menteri Interim Thailand, Phumtham Wechayachai berkata, kerajaannya telah menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Kemboja dan akan menilai semula hubungan dua hala secara menyeluruh.
Kerajaan Thailand turut mengarahkan penutupan semua pos pemeriksaan sempadan dan mengetatkan larangan kemasukan pelancong dari Kemboja.
Ketegangan tersebut bukan hanya di medan ketenteraan, malah turut membabitkan pertikaman lidah antara bekas pemimpin Thailand dengan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Situasi tegang itu sebelum ini diburukkan dengan insiden tembak-menembak pada 28 Mei lalu berhampiran kawasan dikenali sebagai Mom Bei atau Segitiga Zamrud yang mengorbankan seorang askar Kemboja.
Sejak itu, kedua-dua negara meningkatkan kehadiran tentera dan melaksanakan sekatan sempadan secara timbal balik.