fb fb fb fb fb

China kritik pengunduran AS daripada UNESCO

Guo Jiakun/ Foto VIORY

BEIJING, 24 Julai - China mengkritik pengunduran Amerika Syarikat (AS) daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun menyifatkan langkah itu tidak selari dengan sikap “negara besar yang bertanggungjawab”.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan bahawa negara itu akan menarik diri sebagai anggota UNESCO, berkuat kuasa pada Disember 2026, selari dengan dakwaan AS mengenai berat sebelah pro-China dan pro-Palestin dalam organisasi tersebut.

AS pernah menarik diri daripada UNESCO sejak 1984, kembali semula pada 2003 dan sekali lagi keluar pada 2017 di bawah pentadbiran Trump.

Sementara itu, mengenai perjanjian terbaharu AS-Jepun, jurucakap China menyambut baik inisiatif itu, menyatakan bahawa Beijing sentiasa menyokong agar semua pihak menyelesaikan perbezaan ekonomi dan perdagangan melalui dialog dan rundingan.

Perjanjian tersebut melibatkan pelaburan Jepun yang signifikan sebanyak AS$550 bilion dalam ekonomi AS dan didakwa mengurangkan tarif ke atas pelbagai barangan kepada 15 peratus.

Menjawab soalan mengenai rundingan antara Iran, China, dan Rusia pula, beliau menegaskan pendirian China untuk menyokong penyelesaian aman bagi isu nuklear Iran melalui cara politik dan diplomatik.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan penglibatan China dalam serangan siber global terhadap agensi-agensi AS.

Dalam sidang media harian itu, beliau juga mengulas beberapa isu lain, termasuk keputusan India untuk meneruskan semula pengeluaran visa pelancong kepada warga China selepas lima tahun, kebimbangan meningkat India mengenai pembinaan Projek Hidroelektrik Sungai Lower Yarlung Tsangpo, dan pusingan ketiga rundingan perdagangan China-AS. -VIORY

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM