LONDON, 9 Jun- Sebuah kapal kargo berbendera Antigua dan Barbuda terbakar selepas ia terkena peluru berpandu di luar pantai Yaman pada malam Sabtu, kata firma keselamatan maritim Ambrey.
"Kapal itu menuju ke barat daya di sepanjang Teluk Aden pada kelajuan 8.2kts apabila bahagian hadapannya terkena peluru berpandu lalu mengakibatkan kebakaran tetapi dapat dipadamkan," kata Ambrey dalam satu kenyataan.
"Tiada kecederaan dilaporkan," tambah firma keselamatan itu.
Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO), yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Britain, berkata dalam kenyataan berasingan bahawa ia dimaklumkan tentang insiden di tenggara Aden itu dan pihak berkuasa sedang menyiasat.
"Kapal dinasihatkan untuk brelabuh dengan berhati-hati," katanya.
Serangan itu berlaku di tengah-tengah kempen serangan dron dan peluru berpandu terhadap perkapalan berkaitan Israel oleh pemberontak Houthi Yaman yang disokong Iran.
Serangan Houthi, telah mendorong beberapa syarikat perkapalan melencong di sekitar selatan Afrika untuk mengelak Laut Merah, laluan yang biasanya membawa kira-kira 12 peratus daripada perdagangan global.
Sejak Januari, Amerika Syarikat dan Britain telah melancarkan serangan balas terhadap sasaran Houthi di Yaman sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas perkapalan.
Serangan itu tidak banyak membantu menghalang Huthi, yang telah berikrar untuk menyasarkan kapal AS dan British serta semua kapal yang menuju ke pelabuhan Israel.-AFP