fb fb fb fb fb

Kanu purba buka rahsia pelayaran manusia prasejarah

Foto REUTERS

TOKYO, 26 Jun – Sekumpulan penyelidik dari Jepun dan Taiwan berjaya merungkai misteri bagaimana manusia prasejarah mampu menyeberangi lautan tanpa teknologi moden, dengan melakukan pelayaran ulangan menggunakan kaedah dan alatan purba.

Kumpulan berkenaan melakukan pelayaran eksperimen merentasi sebahagian Laut China Timur, dengan mendayung dari Ushibi di timur Taiwan ke Pulau Yonaguni di Jepun menggunakan kanu kayu (dugout canoe) untuk menunjukkan bagaimana perjalanan seperti itu mungkin telah dilakukan kira-kira 30,000 tahun lalu ketika manusia menyebar ke pelbagai pulau di Pasifik.

Lima orang anggota, iaitu empat lelaki dan seorang wanita menggunakan salinan alat prasejarah seperti kapak dan alat pemotong yang dikenali sebagai adze untuk membentuk sebuah kanu sepanjang 7.5 meter daripada sebatang pokok cedar Jepun yang ditebang di Noto.

Mereka kemudiannya mendayung kanu berkenaan dalam pelayaran yang mengambil masa lebih 45 jam, merentasi laut terbuka sejauh kira-kira 225 kilometer.

Mereka turut mengharungi salah satu arus lautan terkuat di dunia, iaitu arus Kuroshio.

Kesemuanya mengalami keletihan melampau dan berehat selama beberapa jam sehingga menyebabkan kanu berkenaan hanyut di laut.

Namun, mereka akhirnya berjaya menamatkan pelayaran dengan selamat di Pulau Yonaguni.

Seperti manusia prasejarah, pasukan ini mengemudi dengan berpandukan matahari dan bintang, serta gelombang laut.

Ekspedisi berkenaan turut diiringi dua bot pengiring sebagai langkah keselamatan.

Para penyelidik sebelum ini gagal dalam percubaan untuk menyeberang menggunakan rakit rotan dan kemudian rakit buluh, kerana ia terlalu perlahan, tidak cukup tahan lasak, dan tidak mampu melawan arus laut yang kuat.

“Kami belajar banyak daripada projek ini, termasuk kegagalan-kegagalan sebelumnya. Ia menyedarkan kami tentang kesukaran sebenar menyeberangi lautan dan memberikan rasa hormat yang mendalam terhadap nenek moyang kita pada zaman Paleolitik,” kata ahli antropologi dari Universiti Tokyo, Yousuke Kaifu, yang juga merupakan penulis utama kajian yang diterbitkan Rabu lalu dalam jurnal Science Advances.

“Kami dapati bahawa manusia Paleolitik memang mampu menyeberangi lautan dengan arus yang kuat jika mereka mempunyai kano kayu dan kemahiran mendayung serta mengemudi. Namun, mereka perlu menghadapi risiko dihanyutkan arus dan kemungkinan tidak dapat kembali ke tanah asal,” tambah Kaifu, yang berada di atas salah satu bot pengiring semasa pelayaran.

Bukti arkeologi menunjukkan bahawa kira-kira 30,000 tahun lalu, manusia telah pun menyeberang dari Taiwan ke beberapa pulau di gugusan Ryukyu, termasuk Okinawa.

Namun, para saintis sebelum ini tertanya-tanya bagaimana ia berlaku dengan teknologi yang sangat asas pada masa itu – tiada peta, tiada alat logam dan hanya kapal atau rakit yang ringkas.

Tambahan pula, arus Kuroshio yang sangat kuat, bersamaan dengan arus teluk di Mexico, menjadi satu cabaran besar.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD