KANSAS CITY, 22 Julai - Seorang wanita berjaya diselamatkan oleh Pasukan Bomba Kansas City selepas terperangkap dalam arus deras dan berpaut pada sebatang pokok akibat banjir kilat yang melanda kawasan itu pada Isnin.
Menurut laporan media tempatan, insiden dramatik itu berlaku sekitar pukul 12:50 tengah hari waktu tempatan berhampiran West 101st Terrace, utara kawasan Indian Creek dan Indian Creek Trail, apabila air naik secara mendadak hingga menghanyutkan mangsa ke dalam arus deras.
Pasukan penyelamat berjaya menarik wanita tersebut ke tempat selamat tanpa sebarang kecederaan serius.
Perkhidmatan Kajicuaca Kebangsaan (NWS) di Pleasant Hill sebelum itu mengeluarkan amaran banjir kilat untuk beberapa daerah di kawasan metropolitan Kansas City.
Paras air di Indian Creek dan sungai berhampiran dilaporkan hampir mencecah tahap bahaya dengan banjir besar dijangka berlaku di beberapa lokasi.
Pihak berkuasa menyeru penduduk agar berjaga-jaga dan mengelak daripada melalui kawasan yang rendah atau mudah dinaiki air, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini susulan cuaca buruk yang masih berterusan. -REUTERS