TOKYO, 22 Julai – Purata saham Nikkei Jepun mencatat kenaikan pada Selasa selepas pelabur kembali dari cuti hujung minggu panjang dengan reaksi positif terhadap keputusan pilihan raya Dewan Tinggi yang sejajar dengan jangkaan pasaran.
Indeks Nikkei melonjak lebih 1% sejurus dagangan dibuka, sebelum susut sedikit kepada keuntungan sekitar 0.6%.
Pilihan raya pada Ahad lalu menyaksikan gabungan pemerintah Jepun kehilangan kawalan ke atas Dewan Tinggi, sekali gus terus melemahkan kedudukan Perdana Menteri Shigeru Ishiba, meskipun beliau bertegas untuk kekal sebagai ketua parti.
Ketua Eksekutif Geo Securities, Francis Lun, menjangkakan Ishiba akan terus mempertahankan jawatannya.
“Apa yang kita dapat lihat ialah pelabur tidak menjangkakan perubahan besar dalam landskap politik Jepun. Perdana Menteri Ishiba dijangka masih bertahan,” katanya.
Pilihan raya tersebut diberi tumpuan khusus selepas parti Ishiba turut kehilangan kawalan ke atas Dewan Rendah yang lebih berkuasa dalam pilihan raya tahun lalu, di samping tekanan dari parti pembangkang yang menggesa pemotongan cukai.-REUTERS