fb fb fb fb fb

27 maut dalam nahas pesawat latihan Tentera Udara Bangladesh

Pasukan bomba dan keselamatan Bangladesh menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas pesawat latihan Tentera Udara terhempas ke kawasan koleh dan sekolah di Dhaka/ AFP

DHAKA, 22 Julai – Sekurang-kurangnya 27 orang maut selepas sebuah pesawat latihan milik Tentera Udara Bangladesh terhempas ke kawasan kampus kolej dan sekolah di Dhaka.

Menurut pegawai, 88 mangsa lain termasuk kanak-kanak sedang dirawat di hospital akibat kecederaan melecur.

Pesawat F-7 BGI itu dilaporkan terhempas tidak lama selepas berlepas pada pukul 1.06 tengah hari Isnin (waktu tempatan) dari pangkalan udara Kurmitola di ibu negara dalam satu latihan rutin.

Pihak tentera memaklumkan bahawa pesawat tersebut mengalami kegagalan mekanikal.

Menurut Penolong Khas kepada Ketua Penasihat Kesihatan, Sayedur Rahman, seramai 27 orang telah disahkan terkorban manakala 88 yang lain dimasukkan ke hospital dengan kecederaan akibat kebakaran.

Susulan tragedi itu, kerajaan Bangladesh mengisytiharkan hari berkabung dengan semua bendera dikibarkan separuh tiang dan upacara khas diadakan di semua rumah ibadat di seluruh negara.

Tentera turut mengesahkan bahawa juruterbang pesawat merupakan antara yang terkorban dalam kejadian berkenaan. Sebuah jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar nahas.

Pesawat F-7 BGI merupakan varian paling terkini dan canggih dalam keluarga pesawat Chengdu J-7/F-7 buatan China, menurut Jane’s Information Group.

Bangladesh telah menandatangani kontrak pembelian 16 pesawat tersebut pada tahun 2011 dan penghantaran diselesaikan menjelang 2013. - REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI