SEOUL, 22 Julai- Korea Utara berikrar untuk membina kapal pemusnah ketiga seberat 5,000 tan, selepas dua kapal seumpamanya dilancarkan tahun ini.
Media rasmi melaporkan pembinaannya dijadual siap menjelang 10 Oktober 2026, sempena ulang tahun Parti Buruh Korea.
Pemimpin Kim Jong Un mengetuai pelancaran kapal Choe Hyon pada April dan pelancaran gagal Kang Kon pada Mei, yang kemudian dibaiki dan dilayarkan semula pada Jun.
Tentera Korea Selatan percaya pembangunan kapal itu mungkin mendapat bantuan Rusia, sebagai balasan kepada sokongan tentera Korea Utara dalam perang Ukraine.
Presiden baharu Korea Selatan, Lee Jae-myung pula mula melaksanakan pendekatan lebih mesra terhadap Pyongyang dengan menghentikan siaran propaganda di sempadan, yang disusuli tindakan sama oleh Korea Utara.- AFP