SEOUL, 22 Julai – Keluarga mangsa nahas pesawat Jeju Air menyuarakan bantahan terhadap laporan awal kerajaan yang menyalahkan juruterbang atas insiden tersebut.
Insiden tragik itu melibatkan pesawat Boeing 737-800 yang dalam penerbangan dari Thailand ke wilayah barat daya Korea Selatan pada 29 Disember tahun lalu, sebelum terhempas ketika cuba mendarat secara 'belly-landing' di Lapangan Terbang Muan.
Pesawat tersebut kemudian meletup selepas merempuh penghadang konkrit dan telah mengorbankan 179 nyawa.
Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan memaklumkan bahawa, mereka pada awalnya merancang untuk membentangkan penemuan awal siasatan pada hujung minggu lalu.
Namun, sidang media itu dibatalkan dan laporan ditangguhkan selepas keluarga mangsa membantah dengan alasan kandungan laporan tersebut berpotensi mengelirukan.
Menurut wakil keluarga mangsa yang telah melihat laporan itu, insiden dikatakan berpunca daripada serangan burung yang mengakibatkan kerosakan pada bahagian enjin kanan pesawat.
Bagaimanapun, juruterbang dikatakan tersilap dan menutup enjin sebelah kiri hingga menyebabkan pesawat tersebut kehilangan kuasa sepenuhnya dan kegagalan sistem gear pendaratan.
"Juruterbang menyatakan, ‘Tutup enjin nombor 2 (enjin kanan)', namun perakam data penerbangan menunjukkan bahawa enjin kiri yang sebenarnya ditutup," menurut kandungan laporan yang dilihat.
Kim Youn-mi, wakil keluarga mangsa berkata,tiada antara mereka yang diberi peluang untuk mengetahui rakaman tersebut.
"Tiada seorang pun antara kami yang dibenarkan mendengar rakaman kokpit atau melihat data penerbangan itu secara langsung. Kami tidak diberi penjelasan sewajarnya. Kami berhak untuk mengetahuinya," katanya.
Kesatuan juruterbang syarikat penerbangan Jeju Air turut mengkritik laporan itu, menyatakan mereka 'sangat marah' dengan dapatan tersebut dan akan 'menolak sekeras-kerasnya cubaan jahat untuk menyalahkan juruterbang'.
Penemuan itu merupakan sebahagian daripada siasatan berterusan oleh penyiasat Korea Selatan dan Amerika Syarikat, yang masih menyiasat punca sebenar nahas.
Serangan burung – dengan kesan darah dan bulu ditemukan pada kedua-dua bahagian enjin – bersama kegagalan sistem gear pendaratan dan penghadang landasan turut disenaraikan sebagai faktor penyumbang yang masih diteliti.
Laporan penuh siasatan dijangka akan dikeluarkan pada Jun tahun hadapan. - AFP