fb fb fb fb fb

Tanah runtuh akibat hujan monsun ragut tiga nyawa, lebih 15 hilang

Orang ramai mengeluarkan van dari longkang selepas hujan monsun lebat di Islamabad/ AFP

KHAPLU, 22 Julai – Sekurang-kurangnya tiga maut manakala lebih 15 lagi dilaporkan hilang selepas kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat monsun melanda lebuh raya pergunungan di utara Pakistan.

Pegawai Kanan Polis Daerah Diamer Abdul Hameed berkata, di wilayah Gilgit-Baltistan, lebih lapan buah kenderaan dihanyutkan apabila hujan lebat mengakibatkan tanah runtuh di lebuh raya pada Isnin.

"Tiga mayat ditemukan dan lebih 15 mangsa masih hilang. Sekurang-kurangnya 10 buah kenderaan tertimbus di bawah runtuhan," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat telah disambung semula pada pukul 6.00 pagi.

Jurucakap kerajaan Gilgit-Baltistan, Faizullah Faraq turut mengesahkan angka korban tersebut.

Selain tanah runtuh, kawasan sekitar turut dilanda banjir yang memusnahkan 50 buah rumah, empat buah jambatan, sebuah hotel, sebuah sekolah serta mengganggu rangkaian komunikasi dan menghalang laluan utama.

"Ratusan pelancong yang terperangkap telah diselamatkan. Pasukan penyelamat membersihkan runtuhan dan mengiringi mereka keluar dari kawasan pergunungan. Penduduk tempatan turut menyediakan tempat perlindungan kecemasan dan bantuan segera," ujar Faraq.

Wilayah Gilgit-Baltistan yang terkenal dengan landskap gunung-ganang, kawasan lembah dan sungai yang luas merupakan destinasi pelancongan popular di Pakistan.

Musim monsun yang berlangsung dari Jun hingga September di India dan Pakistan menyumbang antara 70 hingga 80 peratus jumlah hujan tahunan di rantau Asia Selatan. Hujan tersebut penting bagi sektor pertanian dan keselamatan makanan, namun sering membawa bencana.

Pada penghujung Jun lalu, sekurang-kurangnya 13 pelancong maut dihanyutkan arus deras ketika berlindung di tebing sungai yang dinaiki air.

Untuk rekod, banjir besar akibat monsun pada 2022 menenggelamkan satu pertiga kawasan negara itu dan meragut 1,700 nyawa. - AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI