fb fb fb fb fb

Kanak-kanak 12 tahun lepaskan tembak di sekolah

Pihak polis Finland berada di luar kompleks sekolah di daerah Vantaa / Foto reuters

HELSINKI, 3 April -Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ditahan polis selepas melepaskan tembakan di sebuah sekolah di luar ibukota Finland pada Selasa.

Insiden tragis itu menyebabkan seorang kanak-kanak terbunuh manakala dua lagi mangsa cedera parah.

Menurut pihak polis, kanak-kanak berkenaan berjaya ditahan di pinggir bandar Helsinki di Siltamaki, iaitu kira-kira 4 km di selatan sekolah Viertola di daerah Vantaa.

"Suspek dan tiga mangsa merupakan pelajar gred enam.

"Kecederaan yang dialami mangsa sangat serius", kata Komisioner Jenayah Marko Sarkkar dalam satu kenyataan.

Tambah pihak polis, tiada suspek lain yang turut terlibat dalam insiden berkenaan.

Selain itu, pihak polis tidak memberikan maklumat terperinci berhubung identiti suspek dan mangsa yang terlibat selain menyatakan kesemua yang terlibat berusia 12 tahun dan suspek adalah seorang kanak-kanak lelaki.

"Suspek telah mengaku melakukan serangan berkenaan dalam soal siasat awal dan perbuatan kanak-kanak tersebut akan disiasat sebagai pembunuhan dan cubaan membunuh", kata pihak polis

Kanak-kanak lelaki itu akan diletakkan dibawah jagaan khidmat sosial memandangkan undang-undang di Finland yang melarang kanak-kanak berada dalam tahanan pihak polis.

Pihak polis setakat ini berkata motif serangan adalah tidak jelas disamping turut mengesahkan permit senapang yang digunakan dalam serangan berkenaan adalah milik saudara-mara kanak-kanak lelaki berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri Finland, Petteri Orpo berkata insiden tembakan yang belaku di sekolah Viertola itu disifatkan sangat menggemparkan negara dan menggesa para ibu bapa bagi mengambil langkah bagi menenangkan anak-anak mereka bagi mengurangkan kebimbangan yang timbul akibat serangan berkenaan.

"Saya mahu memberitahu kepada kanak-kanak dan golongan muda di Finland bahawa pihak berkuasa dan staf sekolah sedang berusaha melakukan segalanya bagi menghalang perkara serupa daripada berulang di masa akan datang", kata Orpo dalam satu kenyataan.

Tembakan di sekolah di Finland merupakan suatu perkara yang jarang-jarang berlaku di negara Scandinavia itu.

Kes tembakan sekolah Finland sebelum ini telah memberi kesan kepada dasar dan polisi penggunaan senjata api di negara itu.

Pada tahun 2007, seorang pelajar Sekolah Tinggi Jokela berusia 18 tahun, Pekka-Eric Auvinen telah membunuh lapan pelajar dan mencederakan seorang mangsa sebelum menembak dirinya sendiri.

Pada 2010, kerajaan Finland menggubal dan mengetatkan undang-undang senjata api negara itu dengan menaikkan syarat pemilikan senjata api dari 18 tahun kepada 20 tahun selain mengadakan ujian kepada para pemohon lesen senjata api negara itu.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD