MONTREAL, 27 September- Kanada mengumumkan pemansuhan sekatan sempadan COVID-19 bagi pelancong ke negara itu, mulai bulan depan.
Negara tersebut tidak lagi akan menguatkuasakan ujian saringan, kuarantin, vaksinasi atau pemakaian pelitup muka untuk pengembara.
"Kami mengumumkan tidak akan memperbaharui perintah dalam majlis yang tamat tempoh pada 30 September.
"Dan dengan itu akan menggantung sekatan COVID-19 bagi semua pelancong yang memasuki Kanada," kata Menteri Kesihatan, Jean-Yves Duclos.
(Menteri Kesihatan, Jean-Yves Duclos/Foto Reuters)
Menurut kenyataan Agensi Kesihatan Awam Kanada, perkara tersebut diputuskan berikutan penilaian yang menunjukkan negara itu telah melepasi kemuncak gelombang Omicron BA.4 dan BA.5.
Selain kadar vaksinasi juga adalah tinggi, manakala kadar kemasukan ke hospital lebih rendah.
"Kami dapat melakukan ini kerana berpuluh juta rakyat Kanada telah mendapatkan vaksin.
"Kami semua telah bekerjasama untuk mengikuti garis panduan, mendapatkan vaksin dan melindungi satu sama lain," kata Menteri Pengangkutan, Omar Alghabra kepada pemberita.
Dalam pada itu, pelancong dan rakyat Kanada masih digalak untuk memakai pelitup mula dan mengasingkan diri apabila perlu, menurut kenyataan itu.
Menurut angka rasmi kerajaan, kira-kira 90 peratus daripada warga Kanada berumur 12 tahun dan ke atas telah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin COVID-19 dan separuh sudah menerima dos penggalak.-AFP