fb fb fb fb fb

Kakitangan WCK warga Palestin terbunuh di Gaza

Foto REUTERS

GAZA, 8 Ogos- Seorang kakitangan World Central Kitchen (WCK) warga Palestin telah terbunuh di Gaza.

WCK mengenal pasti individu tersebut sebagai Nadi Sallout.

Menerusi platform X, WCK menyifatkan Nadi sebagai anggota penting dalam pasukan tersebut, sejak awal pelaksanaan bantuan kemanusiaan di Rafah dan beliau adalah individu yang berperikemanusiaan.

WCK, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat masih mencari maklumat mengenai insiden tersebut.

Pertubuhan itu juga percaya Nadi dibunuh ketika tidak bertugas pada hari Rabu, berhampiran Deir Al-Balah di tengah Gaza.

Sementara itu, tentera Israel menafikan terlibat dalam kejadian itu, sambil menambah ia telah berhubung dengan WCK.

"Setakat ini IDF (Pasukan Pertahanan Israel) tidak mengetahui sebarang insiden di mana seorang pekerja organisasi itu dicederakan semasa bekerja dalam beberapa hari kebelakangan ini," katanya.

Pada 1 April lalu, tiga serangan udara Israel menyasarkan konvoi kenderaan bantuan yang melalui Gaza, membunuh tujuh kakitangan WCK, termasuk rakyat Amerika Syarikat, Australia, Britain dan Poland. Insiden itu mengundang kemarahan antarabangsa.

Bagaimanapun, Israel menafikan dakwaan bahawa pihaknya sengaja menyasarkan pekerja bantuan kemanusiaan itu.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN