fb fb fb fb fb

Kakitangan terbunuh, Save the Children hentikan operasi di utara Yaman

Foto savethechildren.org

DUBAI, 27 Oktober - Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), Save the Children menangguhkan operasinya di utara Yaman selepas salah seorang kakitangannya meninggal dunia dalam tahanan di ibu negara yang dikuasai pemberontak Houiti.

Bapa kepada empat anak Hisham Al-Hakimi, yang bekerja sebagai Pengarah Keselamatan NGO berkenaan, telah ditahan pada 9 September lalu, kata badan amal yang berpengkalan di Britain itu.

“Tiada pertuduhan atau prosiding undang-undang difailkan oleh pihak berkuasa atau alasan yang diberikan untuk penahanannya di Sanaa, yang dikawal oleh pemberontak Houthi yang disokong oleh Iran, kata badan amal itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu tidak memberikan butiran mengenai keadaan atau punca kematian Hakimi, 44, yang menyertai pertubuhan itu pada 2006.

“Save the Children akan menangguhkan operasi di utara Yaman berkuat kuasa serta-merta,” kata badan amal itu.

Konflik Yaman tercetus pada 2014 apabila pemberontak Houthi merampas Sanaa, mendorong pakatan tentera diketuai Arab Saudi untuk campur tangan pada tahun berikutnya untuk menyokong kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Perang itu telah mencetuskan salah satu tragedi kemanusiaan terburuk di dunia, dengan dua pertiga daripada populasi kini memerlukan bantuan kemanusiaan, termasuk lebih daripada 11 juta kanak-kanak.

Penggantungan yang diumumkan NGO berkenaan pada Khamis itu akan menghentikan program seperti kesihatan, pemakanan, pendidikan, perlindungan kanak-kanak dan keselamatan makanan.

Projek-projek badan amal di selatan Yaman tidak akan terjejas oleh penggantungan itu.

Langkah itu bertepatan dengan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di negara termiskin di Semenanjung Arab itu, walaupun pertempuran telah reda sejak gencatan senjata selama enam bulan tamat pada Oktober.

Dari 2015 hingga 2022, Save the Children telah membantu seramai tujuh juta orang di Yaman, empat juta daripadanya merupakan kanak-kanak, kata badan amal itu.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN