fb fb fb fb fb

27 maut akibat Taufan Otis di Acapulco

Orang ramai berdiri berhampiran gerai jalanan yang rosak akibat Taufan Otis di Acapulco, Mexico/ REUTERS.

ACAPULCO, 27 Oktober- Kerajaan Mexico semalam memaklumkan sekurang-kurangnya 27 maut akibat taufan Otis kuat melanda pusat peranginan pantai Acapulco yang turut mengakibatkan pelbagai kerosakan dengan kerugian mencecah berbilion dolar.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, berkata empat mangsa dilaporkan masih hilang akibat bencana alam yang merekodkan angin dengan kelajuan 266 kilometer sejam (km/j).

Katanya, berpandukan gambar yang disiarkan di media sosial, individu hilang dipercayai anggota tentera laut yang pergi ke Acapulco melalui jalan darat dan terpaksa tukar kenderaan beberapa kali.

"Apa yang dialami oleh Acapulco benar-benar malapetaka," katanya pada sidang media di Mexico City.

Taufan Otis yang membadai pusat peranginan pantai Acapulco itu adalah kejadian ribut paling kuat pernah melanda negara berkenaan, kelmarin.

Otis diklasifikasikan sebagai ribut Kategori Lima itu mengakibatkan terputus hubungan susulan banjir yang turut menenggelamkan kereta, menerbangkan bumbung rumah dan hotel serta serpihan di seluruh Acapulco dengan penduduk hampir 900,000 orang.

Otis bertambah kuat dengan pantas di luar pantai Pasifik dan tidak dijangka sehingga mampu menerbangkan pokok besar, selain turut mengakibatkan banjir di hospital dan ratusan pesakit terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat.

Kerajaan setakat ini, belum memberi anggaran kos kemusnahan akibat Otis, namun Enki Research, yang menjejaki ribut tropika menjangkakan angka kerosakan 'mungkin mencecah hampir AS$15 bilion (RM71.7 bilion)'.

Kemusnahan akibat Otis mengakibatkan kebimbangan mengenai kesan perubahan iklim, yang dipercayai oleh ramai saintis akan membawa kepada kejadian cuaca melampau lebih kerap. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI