fb fb fb fb fb

Kakitangan kesihatan di India teruskan bantahan

FOTO REUTERS

MUMBAI, 19 Ogos - Kakitangan kesihatan di seluruh India pada Isnin enggan menghentikan bantahan berhubung kes rogol dan pembunuhan rakan perubatan mereka.

Tindakan itu telah menganggu perkhidmatan kesihatan hampir seminggu selepas mereka melancarkan mogok di seluruh negara, menuntut tempat kerja lebih selamat dan siasatan jenayah yang pantas.

Doktor di India mengadakan protes dan enggan merawat pesakit luar berikutan pembunuhan seorang doktor wanita pada 9 Ogos lalu.

Mangsa dilapor dirogol sebelum dibunuh di sebuah hospital di bandar timur Kolkata.

Seorang sukarelawan polis telah ditangkap dan didakwa kerana disyaki melakukan jenayah itu.

Aktivis wanita berkata insiden itu terus membuka mata orang ramai bahawa wanita di India terus dirundung keganasan seksual walaupun undang-undang lebih ketat dilaksanakan.

Kerajaan bagaimanapun menggesa petugas kesihatan untuk kembali bertugas sementara kerajaan India akan menubuhkan jawatankuasa untuk mencadangkan langkah keselamatan bagi meningkatkan perlindungan terhadap mereka.

"Ini bukan (sahaja) rogol seorang doktor, tetapi rogol seorang anak perempuan. Dia seorang anak perempuan, saudara perempuan seseorang, jadi kita perlukan pembelaan sewajarnya," kata Doktor Rajni.

"Kami hanya mahu tuntutan doktor dipenuhi. Ini bukan sahaja tuntutan doktor tetapi tuntutan anak perempuan negara. Sehingga CPA (Akta Perlindungan Pusat) dilaksanakan (untuk doktor), kami tidak akan berhenti membantah." Pekerja Kesihatan, Ishita Agrawal. - REUTERS

TETITIA YUSOFF