fb fb fb fb fb

Kajian Australia dedahkan evolusi virus COVID-19

Foto REUTERS

SYDNEY, 10 Jun- Para penyelidik Australia pada Selasa menerbitkan penemuan baharu yang mendedahkan bagaimana virus SARS-CoV-2, penyebab COVID-19, terus berkembang dengan pesat, menawarkan pandangan penting yang boleh membantu meramal dan memerangi varian itu pada masa depan, lapor Xinhua.

Penyelidik dari Universiti New South Wales (UNSW) menjejaki evolusi genetik SARS-CoV-2 selama lima tahun menerusi 11 sampel daripada sembilan varian utama, termasuk Alpha, Delta dan Omicron, bagi memerhati bagaimana virus ini bermutasi dari semasa ke semasa, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNSW Sydney.

Dengan mengkaji virus dalam persekitaran terkawal, penyelidik dapat memerhati evolusi semula jadinya tanpa gangguan daripada faktor tidak menentu dalam jangkitan dunia nyata, kata ketua kajian itu, Charles Foster dari Sekolah Sains Bioperubatan UNSW.

“Dengan mengembangkan virus selama beberapa generasi dalam makmal terkawal, kami dapat memerhati bagaimana ia berkembang tanpa pengaruh sistem imun atau rawatan. Ini memberi kami gambaran lebih jelas tentang laluan evolusi semula jadinya,” katanya.

Kajian mendapati SARS-CoV-2 terus bermutasi walaupun selepas 100 generasi dalam makmal, dengan beberapa mutasi kerap muncul merentas pelbagai strain, fenomena dikenali sebagai evolusi konvergen.

Banyak mutasi berlaku pada spike protein, yang membantu virus menjangkiti sel manusia, tetapi bahagian lain virus juga berubah dan kadangkala lebih cepat.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Virology itu turut menekankan bahawa beberapa mutasi itu sudah diketahui boleh melemahkan keberkesanan sesetengah vaksin.

“Kami telah menjadikan semua data penjujukan kami supaya penyelidik lain boleh menganalisisnya, membandingkannya dengan sampel klinikal dan semoga menemui lebih banyak lagi mengenai bagaimana virus ini berevolusi,” kata Foster.

Beliau berkata pemahaman tentang corak evolusi ini penting untuk terus mendahului COVID-19 dan bersedia menghadapi cabaran seterusnya.- BERNAMA-XINHUA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM