SEOUL, 22 Januari- Kadar kelahiran Korea Selatan meningkat pada 2024, kali pertama dalam sembilan tahun.
Ini berikutan lonjakan perkahwinan yang tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Data kerajaan yang dikeluarkan pada Rabu menunjukkan jumlah kelahiran dari Januari hingga November 2024 meningkat sebanyak tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menjadikan jumlah kelahiran seramai 220,094 bayi.
Pada 2023, jumlah kelahiran menyusut sebanyak 7.7 peratus, mencatatkan kadar kesuburan tahunan serendah 0.72, yang terendah di dunia.
Kenaikan itu sejajar dengan peningkatan jumlah perkahwinan pada 2023.
Aspek perkahwinan dan kelahiran saling berkait di negara itu, dengan jurang masa satu hingga dua tahun kerana perkahwinan masih dianggap prasyarat untuk memiliki anak.
Menurut tinjauan kerajaan pada tahun lalu, 62.8 peratus rakyat Korea Selatan tidak bersetuju dengan kelahiran luar nikah, walaupun jumlah itu menurun berbanding 77.5 peratus sedekad lalu.
Kerajaan Korea Selatan melancarkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan golongan muda berkahwin dan memiliki anak selepas bekas Presiden Yoon Suk Yeol mengisytiharkan "krisis demografi nasional".
Antara inisiatif itu termasuk potongan cukai dan subsidi kewangan, seperti pengurangan cukai sekali sahaja sebanyak 500,000 won ($349.35) bagi pasangan yang berkahwin antara 2024 hingga 2026.
Dalam pada itu, China turut mencatatkan kenaikan kadar kelahiran sebanyak 5.8 peratus kepada 9.54 juta pada 2024, juga didorong oleh perkahwinan tertangguh akibat pandemik.
Jumlah perkahwinan di Korea Selatan antara Januari hingga November 2024 meningkat sebanyak 13.5 pratus kepada 199,903, menjadikan ia pertambahan tahunan terbesar sejak 1980.- REUTERS