fb fb fb fb fb

Pantai teluk AS dilanda ribut salji luar biasa

Foto Reuters

HOUSTON, 22 Januari- Ribut musim sejuk luar biasa melanda pantai teluk Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Situasi itu mencatatkan rekod salji baharu di wilayah selatan negara berkenaan, yang jarang berdepan salji.

Suhu sejuk yang membeku terus melanda sebahagian besar negara itu.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), amaran ribut salji dikeluarkan untuk 31 juta penduduk dari Texas hingga Georgia dan ke utara Carolina dan Virginia, berkuat kuasa hingga Rabu pagi.

Di Houston, salji setebal kira-kira 10 sentimeter (cm) melitupi jalan raya, menyebabkan jalan pusat bandar menjadi lengang selain sekolah juga terpaksa ditutup selama dua hari.

"New Orleans menyaksikan salji setebal hampir 25 cm menjelang petang, berpotensi memecahkan rekod 1895 sebanyak 20 cm.

Di Mobile, Alabama, rekod 144 tahun juga dipecahkan dengan salji setebal 15 cm," menurut NWS.

Salji dan ais menyebabkan penerbangan tergendala di Houston, dengan lebih 1,000 penerbangan dibatalkan.

Suhu serendah -39 darjah Celcius (°C) direkodkan di Grand Lake, Colorado, lokasi paling sejuk di AS, pada Selasa pagi.

Ribut turut menyebabkan gangguan elektrik kepada lebih 30,000 kediaman di Texas sebelum angka itu berkurangan.

Pusat pemanasan dibuka di beberapa bandar termasuk Atlanta, Georgia dan Montgomery, Alabama, untuk membantu penduduk menghadapi cuaca ekstrem tersebut.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM