JAKARTA, 22 Januari – Pasukan penyelamat Indonesia meneruskan pencarian 13 mangsa hilang selepas kejadian tanah runtuh di wilayah Jawa Tengah yang mengorbankan sekurang-kurangnya 17 nyawa, menurut seorang pegawai pada Rabu.
Hujan lebat di bandar Pekalongan, di Jawa Tengah, menyebabkan tanah runtuh pada Selasa.
Bagaimanapun, usaha menyelamat dihentikan kerana hujan lebat berterusan dan kabus tebal yang menyelubungi kawasan itu.
Menurut jurucakap pasukan penyelamat tempatan, Zulhawari Agustianto, sekitar 300 penyelamat dengan bantuan polis dan anggota tentera telah dikerahkan pada pagi Rabu untuk mencari mangsa yang masih hilang.
“Jumlah mangsa hilang mungkin lebih ramai kerana terdapat sebuah kafe di lokasi tanah runtuh. Kami menerima maklumat bahawa kafe itu penuh ketika kejadian berlaku,” katanya.
Angka kematian akibat insiden itu meningkat kepada 17 orang pada Selasa.
Tanah runtuh berkenaan berlaku di jalan utama yang menghubungkan Pekalongan dengan destinasi pelancongan Dataran Tinggi Dieng, tambah Zulhawari.
Pasukan penyelamat terpaksa berjalan sejauh empat kilometer untuk sampai ke lokasi kejadian kerana laluan tidak dapat diakses.
Sebuah jengkaut telah digunakan untuk membersihkan runtuhan lumpur yang menutupi jalan.
Rakaman daripada media tempatan menunjukkan keadaan jalan dan rumah-rumah yang tertimbus, sementara sawah padi dilitupi lumpur, serpihan, dan batu-batuan.
Imej yang dikongsi oleh agensi bencana memperlihatkan penyelamat membawa mangsa dalam beg mayat menggunakan pengusung buluh di bawah kabus tebal.
Agensi tersebut turut mengeluarkan amaran kepada penduduk bahawa hujan dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang, yang berpotensi menyebabkan lebih banyak tanah runtuh dan banjir kilat.-REUTERS