VANCOUVER, 30 Jun- Syarikat Penerbangan Kanada, WestJet berkata ia terpaksa membatalkan 235 penerbangan pada Sabtu selepas mogok mengejut oleh juruteranya.
Pembatalan oleh syarikat penerbangan kedua terbesar di negara itu adalah tambahan kepada 150 penerbangan yang dibatalkan pada hari Jumaat dan 25 lagi pada Khamis.
Lebih 55,000 penumpang di seluruh negara dan antarabangsa telah terjejas oleh pembatalan penerbangan menjelang cuti Hari Kanada Isnin ini.
"Keadaan ini sangat teruk," kata presiden WestJet Diederik Pen dalam satu kenyataan, meletakkan kesalahan Aircraft Mechanics Fraternal Association (AMFA).
Syarikat penerbangan itu berkata ia menjangkakan lebih banyak penerbangan terpaksa dibatalkan jika mogok berterusan.
WestJet memaklumkan pihaknya kini sedang berusaha meminta Menteri Buruh dan Lembaga Hubungan Perindustrian Kanada untuk campur tangan.
WestJet menerbangkan 198 pesawat komersial ke lebih 100 destinasi di hampir 30 negara.-AFP