YANGON, 25 Julai- Junta Myanmar dan kumpulan bersenjata etnik minoriti hari ini berbalas kenyataan mendakwa menguasai sebuah bandar di utara negeri Shan susulan pertempuran sejak beberapa hari lalu.
Sejak 3 Julai, pertempuran itu menggegarkan bandar Lashio, rumah kepada komando timur laut tentera, apabila pakatan kumpulan bersenjata etnik memulakan serangan terhadap tentera junta.
Media tempatan yang dipegang oleh Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) melaporkan, mereka sudah 'menawan sepenuhnya ibu pejabat komando Tentera Timur Laut di Lashio' pada pagi hari ini dan turut menawan bandar Lashio, yang menempatkan kira-kira 150,000 orang.
Bagaimanapun, jurucakap junta, Zaw Min Tun memberitahu pemberita dakwaan itu adalah 'tidak benar'.
"Pemberontak menyusup ke pinggir Lashio jadi (pasukan keselamatan) mengikuti dan menyelesaikan mereka," katanya, tanpa memberikan butiran lanjut.
AFP setakat ini tidak dapat menghubungi jurucakap MNDAA untuk mendapatkan komen. Perintah timur laut setakat ini terletak di utara Lashio.
Sebuah video yang dimuat naik ke media sosial mendakwa berlaku tembakan di Lashio pada pagi ini dan menunjukkan jalan lengang tanpa kehadiran askar.
Wartawan AFP turut ke lokasi video di bandar itu sekitar dua kilometer dari perintah itu.
Negeri Shan digemparkan dengan pertempuran sejak akhir bulan lalu, apabila pakatan kumpulan bersenjata etnik kembali memulakan serangan terhadap tentera di sepanjang lebuh raya ke wilayah Yunnan di China.
Pertempuran itu telah meruntuhkan gencatan senjata yang diusahakan oleh Beijing pada Januari lalu bagi menghentikan serangan oleh pakatan Tentera Arakan (AA), Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang (TNLA) dan MNDAA.
Pada 10 Julai lalu, pejuang TNLA menawan perintah batalion di Lashio, sebelum serangan udara junta memaksa mereka berundur.
Menurut penduduk, kumpulan itu juga melakukan beberapa serangan udara di sekitar bandar semasa pertempuran.
Kata junta dan pasukan penyelamat tempatan, puluhan orang awam terbunuh atau cedera dalam pertempuran baru-baru ini, namun tiada angka rasmi dikeluarkan dua pihak itu.
China adalah sekutu utama dan pembekal senjata kepada junta, tetapi penganalisis berkata, negara itu juga mengekalkan hubungan dengan kumpulan etnik bersenjata di Myanmar yang memegang wilayah berhampiran sempadannya.
Tanah sempadan Myanmar adalah rumah kepada pelbagai kumpulan bersenjata etnik yang memerangi tentera sejak kemerdekaan daripada Britain pada 1948 untuk autonomi dan kawalan sumber yang menguntungkan.
Ada yang memberi perlindungan dan latihan kepada 'Pasukan Pertahanan Rakyat atau PDF' baharu yang muncul untuk memerangi tentera selepas rampasan kuasa pada 2021. - AFP