HANOI, 10 September- Di Vietnam, petugas kecemasan kini masih berusaha keras untuk menyelamatkan ribuan penduduk akibat banjir teruk pada Selasa selepas Taufan Yagi melanda utara negara itu.
Statistik terkini melaporkan setakat ini 63 orang terbunuh dan 40 lagi masih hilang.
Kira-kira 752 orang turut cedera akibat banjir dan tanah runtuh, kata pegawai kementerian pertanian pada Selasa.
Menurut ahli meteorologi, Yagi adalah taufan yang paling kuat melanda utara Vietnam dalam tempoh 30 tahun, meruntuhkan jambatan, merobohkan bumbung bangunan, dan merosakkan kilang-kilang selepas membadai pada Sabtu dengan kelajuan angin melebihi 149 kilometer sejam (92 batu sejam).
Kawasan utara negara kini bergelut dengan banjir besar, menyaksikan beberapa kawasan ditenggelami air.
Rumah satu tingkat di beberapa kawasan di Thai Nguyen dan Yen Bai hampir sepenuhnya tenggelam pada awal pagi Selasa, dengan penduduk menunggu di atas bumbung untuk mendapatkan bantuan.
Di Hanoi, komuniti di sepanjang Sungai Merah juga sebahagiannya ditenggelami air, memaksa orang ramai untuk berpindah.
Phan Thi Tuyet, 50, yang tinggal berhampiran sungai, berkata dia tidak pernah mengalami air setinggi ini sebelum ini.
"Saya telah kehilangan segalanya, semuanya hilang. Kami terpaksa berpindah ke kawasan tinggi untuk menyelamatkan nyawa kami. Kami tidak dapat membawa sebarang perabot. Semuanya telah ditenggelami air sekarang."-AFP