LONDON, 10 September- Puteri Wales, Catherine mengumumkan pada Isnin beliau telah menyelesaikan rawatan kemoterapi selepas menerima diagnosis kanser mengejut awal tahun ini.
Pengumuman itu memberi kelegaan besar kepada keluarga diraja Britain setelah melalui tahun yang sukar, di mana ketua negara, Raja Charles III, turut mendedahkan bahawa beliau sedang melawan kanser.
"Saya tidak dapat menggambarkan betapa leganya apabila akhirnya selesai menjalani rawatan kemoterapi saya," kata Kate, seperti yang sering dipanggil, dalam mesej di X dan Instagram.
Puteri berusia 42 tahun itu berkata sembilan bulan terakhir sangat mencabar bagi keluarganya, suaminya, Putera William, dan anak-anak mereka, Putera George, 11, Puteri Charlotte, (9), dan Putera Louis, (6).
"Hidup seperti yang kita tahu boleh berubah dalam sekelip mata dan kami terpaksa mencari jalan untuk mengharungi detik sukar ini," katanya.
Catherine, bakal permaisuri yang dilihat sebagai tokoh penting dalam mengekalkan kedudukan keluarga diraja di Britain, menambah "fokus saya kini adalah untuk kekal bebas kanser."
"Namun, saya tidak sabar untuk kembali bekerja dan menjalani beberapa lagi acara awam dalam bulan-bulan akan datang apabila keadaan mengizinkan."
Catherine mengumumkan pada Mac bahawa beliau sedang menjalani kemoterapi pencegahan untuk kanser.
Mesej video itu menunjukkan Catherine dan William kelihatan santai dan gembira bersama anak-anak mereka di kawasan pedalaman Norfolk di timur England.
Video itu dirakam bulan lalu, menurut pejabat mereka di Istana Kensington.-AFP