fb fb fb fb fb

Jumlah kematian akibat kebakaran di Hong Kong meningkat kepada 146

Polis mengusung mayat yang ditemui daripada sebuah blok kediaman yang musnah akibat kebakaran di kompleks perumahan Wang Fuk Court, Tai Po, Hong Kong/ REUTERS

HONG KONG, 30 November – Jumlah kematian akibat kebakaran besar di Hong Kong kini meningkat kepada 146 orang, menurut polis pada Ahad.

Pihak polis menjangkakan operasi mencari mangsa di tujuh bangunan kediaman yang terlibat akan selesai dalam tempoh tiga hingga empat minggu.

Jurucakap polis berkata pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan angka korban akan meningkat lagi.

Beberapa mayat ditemui di tangga dan bumbung bangunan ketika penduduk cuba melarikan diri.

Selain itu, lebih 40 individu masih dilaporkan hilang.

Asap masih kelihatan selepas empat hari kebakaran pantas itu merebak di luar tujuh menara kediaman yang sedang dalam proses pengubahsuaian di daerah Tai Po, utara Hong Kong.

Sehingga kini, 11 individu ditahan berkaitan kebakaran itu ketika pihak berkuasa menyiasat kemungkinan wujud rasuah dan penggunaan bahan tidak selamat semasa pengubahsuaian.

Pihak berkuasa turut mendedahkan bahawa sistem penggera kebakaran di kompleks berkenaan, yang menempatkan lebih 4,600 penduduk, tidak berfungsi dengan baik semasa kejadian. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN