NEW DELHI, 30 November -Sekurang-kurangnya 334 terkorban dalam kejadian berkaitan hujan yang dicetuskan oleh taufan Ditwah di negeri Tamil Nadu, selatan India, menurut Agensi Bencana Sri Lanka.
Pusat Pengurusan Bencana (DMC) memaklumkan angka kematian meningkat daripada 212 kepada 334 dalam tempoh beberapa jam pada Ahad, dengan hampir 400 orang masih hilang dan lebih 1.3 juta penduduk terjejas akibat hujan luar biasa itu.
Pihak berkuasa berkata kerosakan sebenar di kawasan tengah yang paling teruk terjejas hanya mulai kelihatan apabila pasukan penyelamat berjaya membuka laluan yang terhalang oleh pokok tumbang dan runtuhan tanah.
Presiden Anura Kumara Dissanayake, yang mengisytiharkan darurat bagi menangani krisis tersebut, berikrar untuk membangunkan semula negara dengan bantuan antarabangsa.
"Kita sedang berdepan bencana alam terbesar dan paling mencabar dalam sejarah negara," katanya dalam perutusan khas kepada rakyat.
Kemusnahan itu adalah yang terburuk sejak tsunami Asia pada 2004 yang meragut kira-kira 31,000 nyawa dan menjadikan lebih sejuta penduduk hilang tempat tinggal.
Walaupun hujan semakin reda, beberapa kawasan rendah di ibu negara Colombo masih ditenggelami air pada Ahad dan pihak berkuasa sudah bersiap sedia melaksanakan operasi bantuan berskala besar.
Sebuah helikopter Bell 212 yang membawa makanan untuk pesakit di sebuah hospital di utara Colombo terhempas ke dalam sungai pada petang Ahad. Semua lima kru telah dibawa ke hospital berhampiran.
Satu lagi helikopter yang dihantar dari India berjaya menyelamatkan 24 mangsa, termasuk seorang wanita hamil dan seorang lelaki berkerusi roda, yang terperangkap di bandar Kotmale, kira-kira 90 kilometer timur laut Colombo.
Tentera Udara Sri Lanka berkata Pakistan turut menghantar pasukan penyelamat, manakala Jepun akan menghantar pasukan penilai dan telah berjanji untuk menyediakan bantuan segera.
Pihak tentera turut memaklumkan dua bayi serta seorang kanak-kanak berusia 10 tahun berjaya dipindahkan dari sebuah hospital di Chilaw, di utara negara itu, yang ditenggelami air pada Sabtu.
Pihak berkuasa menjangkakan paras banjir di Colombo memerlukan sekurang-kurangnya sehari untuk surut, dengan keadaan cuaca kering diramalkan. Siklon Ditwah bergerak ke arah utara menuju India pada Sabtu. - AFP