fb fb fb fb fb

Jon Rahm rangkul gelaran Golf Masters untuk Sepanyol

(FOTO AFP)

AUGUSTA, 10 April - Jon Rahm hampir mengalirkan air mata selepas merangkul gelaran Golf Masters yang mana jatuh pada hari ulang tahun kelahiran idolanya, Seve Ballesteros.

Rahm merakam tiga di bawah par 69 untuk menamatkan saingan 72 lubang di Augusta National dengan 12 di bawah 276 bagi mengatasi dua pemain Amerika Syarikat, Brooks Koepka dan Phil Mickelson yang berkongsi kedudukan kedua dengan kelebihan empat pukulan.

Lebih manis, kemenangan itu menyaksikan Rahm kembali sebagai pemain nombor satu dunia.

(Jon Rahm meraikan kemenangan semasa pusingan akhir Kejohanan Masters
2023 di Kelab Golf Nasional Augusta / FOTO AFP)

"Saya tidak pernah panik. Saya berasa selesa di luar sana dan hanya itu yang boleh saya lakukan," kata Rahm.

Pemain Sepanyol berusia 28 tahun itu berkata dia mendapat suntikan semangat menerusi kejayaan mendiang Ballesteros yang memenangi gelaran Masters keduanya 40 tahun lalu.

"Bagi saya, berjaya melakukannya pada ulang tahun ke-40 kejayaannya itu, pada ulang tahun kelahirannya dan hari Easter adalah sesuatu yang sangat bermakna," katanya.

Rahm menjadi pemain keempat Sepanyol yang berjaya menyarung jaket hijau selepas Sergio Garcia, Jose Maria Olazabal dan Ballesteros yang meninggal dunia akibat kanser otak pada 2011.

Rahm yang juga juara Terbuka Amerika Syarikat 2021 memenangi jaket hijau dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$3.24 juta (RM14.28 juta) daripada keseluruhan AS$18 juta (RM79.34 juta) yang ditawarkan untuk kejohanan kali ini. -AFP

Media Baharu