ALASKA, 29 Januari- Sebuah pesawat pejuang F-35 milik Tentera Udara Amerika Syarikat terhempas di Pangkalan Tentera Udara Eielson, Alaska, dalam satu latihan ketenteraan pada pukul 12.49 tengah hari waktu tempatan.
Rakaman kejadian menunjukkan pesawat F-35 Lightning II berputar sebelum menjunam dan meletup dalam satu bola api.
Juruterbang berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan kerusi lenting dan dilihat turun dengan payung terjun sebelum dibawa ke Hospital Tentera Bassett bagi pemeriksaan kesihatan.
Komander Sayap Pejuang Ke-354, Kolonel Paul Townsend, memaklumkan bahawa juruterbang memaklumkan terdapat kerosakan dalam penerbangan sebelum nahas berlaku.
“Keselamatan anggota adalah keutamaan kami dan kami komited dalam memastikan kesejahteraan mereka terjamin.
“Saya memberi jaminan bahawa Tentera Udara Amerika Syarikat akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca insiden ini dan mengurangkan kemungkinan kejadian serupa berulang,” katanya dalam satu kenyataan.-REUTERS