JUBA, 29 Januari- Sebuah pesawat terhempas di utara Sudan Selatan pada pagi Rabu, mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang, dengan hanya seorang mangsa yang disahkan terselamat, kata Menteri Penerangan Negeri Unity.
Pesawat itu dilaporkan terhempas berhampiran kawasan lapangan minyak di Negeri Unity sekitar pukul 10.30 pagi waktu tempatan, sejurus selepas berlepas menuju ibu negara, Juba.
"Pesawat itu terhempas 500 meter dari lapangan terbang," kata Gatwech Bipal Both kepada AFP.
"Seramai 21 orang berada di dalam pesawat. Setakat ini, hanya seorang terselamat."
Mangsa yang terselamat, seorang jurutera Sudan Selatan yang bekerja di kawasan lapangan minyak, telah dikejarkan ke Hospital Negeri Bentiu untuk rawatan lanjut.
Pesawat penumpang buatan Ukraine itu, yang disewa oleh Greater Pioneer Operating Company (GPOC) dan dikendalikan oleh Light Air Services Aviation Company itu sedang dalam misi rutin ke kawasan berkenaan.
"Kerajaan negeri amat berdukacita dengan kejadian ini," katanya, sambil menambah bahawa siasatan akan dijalankan.
"Ramai beranggapan ia mungkin berpunca daripada kegagalan mekanikal," tambahnya tanpa memberikan butiran lanjut.
Menurut senarai penumpang, kesemua mangsa adalah pekerja GPOC, terdiri daripada 16 warga Sudan Selatan, dua rakyat China, dan seorang warga India.
Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan bangkai pesawat dalam keadaan terbalik di kawasan lapang dengan serpihan bertaburan di sekelilingnya.
Dalam beberapa imej yang belum dapat disahkan AFP, kelihatan mayat terkeluar daripada badan pesawat yang remuk.
Sudan Selatan yang mencapai kemerdekaan daripada Sudan pada tahun 2011 terus berdepan ketidakstabilan ekonomi dan politik yang serius.
Negara itu kekurangan infrastruktur pengangkutan yang boleh dipercayai, dan nahas udara sering berlaku, lazimnya berpunca daripada kapasiti berlebihan atau keadaan cuaca buruk.
Pada 2021, lima orang terkorban apabila sebuah pesawat kargo yang membawa bahan api untuk Program Makanan Sedunia (WFP) PBB terhempas berhampiran Juba.
Muatan berlebihan juga dipercayai menjadi punca nahas pesawat Antonov di Juba pada tahun 2015, yang mengorbankan 36 orang.
Pada 2017, seramai 37 penumpang terselamat secara ajaib selepas pesawat mereka melanggar trak bomba di landasan Lapangan Terbang Wau sebelum terbakar.-AFP