DAMSYIK, 29 Januari- Pihak berkuasa baharu Syria pada Rabu menggesa Israel berundur dari wilayah yang didudukinya di Bukit Golan selepas kejatuhan Presiden Bashar al-Assad, dalam rundingan dengan ketua pasukan pengaman PBB, Jean-Pierre Lacroix.
Dalam pertemuan Lacroix dengan menteri luar dan pertahanan Syria, "Syria menegaskan kesediaan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan PBB," kata agensi berita SANA.
Syria juga bersedia mengerahkan semula pasukan tenteranya ke Golan sejajar dengan perjanjian 1974 yang menetapkan zon penampan, "dengan syarat tentera Israel berundur serta-merta," tambah SANA.
Israel menghantar tenteranya ke zon penampan yang dinyahmilitarisasi pada 8 Disember, hari Assad digulingkan.
Israel merampas sebahagian besar kawasan pergunungan itu daripada Syria dalam perang Arab-Israel 1967 dan menganeksasi wilayah tersebut pada 1981. Zon penampan yang dikawal PBB bertujuan menghalang pertembungan antara tentera Israel dan Syria.
Pasukan setia kepada kerajaan Assad telah meninggalkan kedudukan mereka di selatan Syria sebelum kumpulan pemberontak sampai ke Damsyik, menyebabkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mendakwa wujudnya "kekosongan di sempadan Israel."
Pertubuhan Bangsa Bersatu menganggap pengambilalihan zon penampan oleh Israel sebagai pelanggaran terhadap perjanjian pemisahan 1974.
Semasa lawatannya, Lacroix dijadual bertemu pasukan pengaman daripada Pasukan Pemerhati Pemisahan PBB (UNDOF), yang memantau pematuhan terhadap perjanjian itu.
Pada Disember, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengarahkan tenteranya untuk bersiap sedia kekal di zon penampan sepanjang musim sejuk.
Pada Selasa, beliau berkata pasukan akan kekal di puncak Gunung Hermon dan di zon keselamatan untuk tempoh yang tidak ditentukan bagi melindungi komuniti Golan, utara Israel, dan semua rakyat Israel.
Gunung Hermon terletak di antara Syria dan Lubnan, menghadap Bukit Golan.
"Kami tidak akan membenarkan pasukan musuh bertapak di zon keselamatan di selatan Syria," katanya.-AFP