fb fb fb fb fb

Jet pejuang Arab Saudi terhempas, sekurang-kurangnya seorang maut

(Foto fail pesawat pejuang  F-15SA/Reuters)

RIYADH, 27 Julai- Sebuah jet pejuang tentera Arab Saudi terhempas dan membunuh sekurang-kurangnya seorang anak kapalnya ketika menjalankan misi latihan di selatan negara itu, semalam.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Turki al-Maliki berkata, pesawat armada F-15SA milik kerajaan itu terhempas pada pukul 2.28 petang waktu tempatan di kawasan latihan pangkalan udara di bandar Khamis Mushait.

“Kemalangan itu mengakibatkan anak kapal udara mati syahid,” kata kenyataan itu tanpa memaklumkan dengan tepat berapa jumlah mangsa yang maut.

Turki berkata, siasatan telah dilancarkan bagi mengetahui punca kejadian.

Khamis Mushait terletak di wilayah Asir bersempadan dengan Yaman, di mana Arab Saudi selama lebih lapan tahun mengetuai pakatan tentera yang menyokong kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menentang pemberontak Houthi.

Pertempuran di Yaman telah reda dengan ketara sejak gencatan senjata diumumkan pada April 2022, walaupun secara rasmi tamat pada Oktober. -AFP

(Turki al-Maliki)

Media Baharu