BERLIN, 26 Jun- Jerman menggesa Iran untuk terus bekerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), selepas parlimen negara itu mengundi untuk menamatkan kerjasama dengan badan tersebut.
Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu isyarat yang salah dan menasihati Iran agar tidak meneruskannya.
Undian tersebut dibuat selepas konflik berdarah selama 12 hari antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS), yang menyaksikan serangan ke atas beberapa fasiliti nuklear Iran.
Terdahulu, Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf mengkritik IAEA kerana gagal mengecam serangan terhadap tapak nuklear Iran dan menuduh agensi itu menggadaikan kredibilitinya di peringkat antarabangsa.
Keputusan parlimen Iran itu masih perlu diluluskan oleh Majlis Penjaga Perlembagaan, badan yang meneliti semua undang-undang sebelum dikuatkuasakan.
Wadephul turut menyatakan terdapat tanda-tanda positif berhubung rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran, selepas Presiden Donald Trump mengumumkan ia bakal diadakan minggu depan.
Tambah beliau, campur tangan negara-negara Eropah seperti Britain, Perancis dan Jerman memainkan peranan penting dimana Iran sendiri mahu penglibatan negara Eropah dalam rundingan berkenaan. -AFP