BERLIN, 21 Jun - Dua pesawat tentera udara Jerman membawa pulang 64 warganegara negara itu dari Israel.
Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Jerman dalam satu kenyataan bersama berkata dua buah pesawat Airbus A400M telah dihantar ke Israel bagi menjalankan operasi membawa keluar keluarga bersama anak-anak dan individu yang terjejas akibat situasi yang berlaku ketika ini.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa ia merupakan operasi diplomatik yang dilaksanakan dengan kerjasama rapat pihak berkuasa Israel dan bukan operasi ketenteraan.
Kementerian Luar Jerman sebelum ini telah mengatur pemindahan 345 orang melalui dua penerbangan sewa khas melalui Amman, Jordan.
Jerman merupakan antara beberapa negara yang telah melaksanakan operasi pemindahan rakyat masing-masing dari Iran dan Israel melalui darat, laut dan udara ketika kedua-dua negara masih giat melancarkan serangan antara satu sama lain. - AFP