GENEVA, 21 Jun – Iran menegaskan tidak akan menyambung semula rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) selagi serangan Israel ke atas wilayah itu tidak dihentikan, kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi.
Kenyataan itu hadir ketika Ketua Angkatan Tentera Israel memberi amaran bahawa konflik yang sudah berlarutan selama seminggu "akan berpanjangan".
"Iran bersedia untuk mempertimbangkan diplomasi sekali lagi, dan sebaik sahaja pencerobohan dihentikan dan penceroboh (Israel) bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukan.
Dalam hal ini, saya menyatakan dengan jelas bahawa keupayaan pertahanan Iran tidak akan dirundingkan," katanya selepas bertemu diplomat kanan dari Britain, Perancis dan Jerman di Geneva.
Pertemuan diadakan susulan kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang pihaknya berkemungkinan turut campur tangan dalam konflik tersebut, namun keputusan itu akan dibuat dalam tempoh dua minggu lagi.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot pula berkata, pihaknya telah meminta Iran untuk mempertimbangkan rundingan dengan semua pihak, termasuk AS, tanpa menunggu serangan dihentikan, dengan harapan konflik akan dinoktahkan.
Beliau turut menegaskan, “tiada penyelesaian muktamad boleh dicapai melalui kekuatan ketenteraan dalam isu nuklear Iran”, selain turut memberi amaran bahawa cubaan untuk menukar rejim di Iran adalah tindakan berbahaya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyuarakan hasrat untuk membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. - AFP