fb fb fb fb fb

Jepun yakin capai kemajuan isu tarif Trump menjelang Sidang Kemuncak G7

Menteri Pemulihan Ekonomi Jepun, Ryosei Akazawa. Foto REUTERS

WASHINGTON, 7 Jun - Jepun berhasrat untuk mencapai kemajuan dalam rundingan tarif dengan Amerika Syarikat (AS) menjelang pertemuan berpotensi antara pemimpin kedua-dua negara pada Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada minggu depan.

Demikian dinyatakan Menteri Pemulihan Ekonomi yang juga Ketua Perunding utama Jepun, Ryosei Akazawa kepada wartawan di Washington D.C.

"Tarif telah pun dikenakan ke atas kereta, alat ganti kereta, keluli dan aluminium, dan sebahagian daripadanya telah meningkat dua kali ganda kepada 50% bersama-sama dengan tarif am 10%. Ini menyebabkan kerugian harian yang ketara kepada ekonomi Jepun," jelas Akazawa.

Tambah beliau, Sidang Kemuncak G7 adalah masa yang paling sesuai untuk berbincang dan mencapai persetujuan mengenai perkara itu.

"Kami akan meminta kedua-dua pemimpin mengambil kira sejauh mana rundingan tarif antara Jepun dan Amerika Syarikat telah berkembang, dan dalam erti kata itu sidang kemuncak G7 adalah masa yang paling penting untuk berunding," katanya.

Pusingan rundingan terbaharu mungkin merupakan pertemuan terakhir secara peribadi antara pegawai kanan Jepun dan AS, sebelum Sidang Kemuncak G7 yang bermula pada 15 Jun ini. Presiden AS, Donald Trump dijangka bertemu Perdana Menteri, Jepun Shigeru Ishiba.

Jepun juga menghadapi kadar tarif 24% bermula pada bulan Julai melainkan ia boleh merundingkan perjanjian dengan Washington. -REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI