MINA, 7 Jun- Syarikat Air Kebangsaan Arab Saudi (NWC) mengumumkan bahawa sebanyak 904,941 meter padu air diagihkan ke seluruh Makkah dan tanah suci pada hari pertama Aidiladha, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Menurut kenyataan syarikat itu, operasi mengepam air berjalan tanpa henti sepanjang masa untuk menyokong rangkaian air di tanah suci dan kemudahan di Masjidil Haram.
Bekalan air berjadual ke kawasan kejiranan di Makkah juga berjalan seperti dirancang, tanpa sebarang gangguan besar.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada rancangan operasi syarikat bagi memastikan pengagihan air yang stabil dan mencukupi sepanjang musim Haji.
Tahun ini, hari pertama Aidiladha jatuh pada 6 Jun di Arab Saudi dan negara-negara jiran, manakala beberapa negara lain menyambutnya pada 7 Jun. -BERNAMA