fb fb fb fb fb

Jepun rekod musim bunga paling panas

TOKYO, 1 Jun- Jepun mengalami musim bunga terpanas dalam rekod tahun ini, kata agensi cuaca negara pada Khamis.

Suhu pada Mac, April dan Mei adalah 1.59 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata bagi tempoh tiga bulan yang sama sejak 30 tahun lalu, kata Agensi Meteorologi Jepun.

Itu menandakan jurang terbesar sejak agensi itu mula mengambil ukuran sejak tahun 1898.

"Apabila pemanasan global berlaku, rekod suhu tinggi sebegitu menjadi lebih biasa," katanya.

Purata suhu permukaan laut untuk perairan sekitar Jepun pada musim bunga yang sama adalah yang ke-3 tertinggi direkodkan sejak 1982, kata agensi itu.

Pertubuhan Bangsa Bersatu berkata, 2023-2027 akan menjadi tempoh lima tahun paling panas pernah direkodkan.

Ini disebabkan fenomena cuaca El Nino dalam beberapa bulan akan datang, meningkatkan suhu global yang lebih tinggi dan kemungkinan rekod haba baharu.

El Nino merupakan corak iklim yang berlaku secara semula jadi dikaitkan dengan peningkatan haba di seluruh dunia, serta kemarau di beberapa bahagian dunia dan hujan lebat di tempat lain, kali terakhir ia berlaku pada 2018-2019.

Purata suhu global pada tahun 2022 ialah 1.15darjah Celsius melebihi purata 1850-1900.

Pada Isnin, Shanghai merekodkan hari terpanas dalam tempoh 100 tahun- AFP

(Pejalan kaki di daerah Ginza di Tokyo/AFP)

Media Baharu