fb fb fb fb fb

Jepun peruntuk dana tambahan, bantu industri perikanan

FOTO REUTERS

TOKYO, 31 Ogos- Jepun akan menggunakan dana tambahan untuk membantu industri perikanan selepas China mula mengharamkan hasil laut Jepun.

Menurut laporan Nikkei pada Khamis, tindakan itu sebagai tindak balas kepada pelepasan air dari loji nuklear Fukushima, minggu lepas.

"Penambahan dana membabitkan beberapa puluh bilion yen akan diambil daripada rizab bajet kerajaan untuk tahun fiskal semasa," kata Nikkei.

Laporan media tempatan memaklumkan, Perdana Menteri, Fumio Kishida dijangka mengumumkan langkah baharu itu pada Khamis selepas lawatannya ke pasar ikan Toyosu di Tokyo.

Jepun mula melepaskan air radioaktif terawat daripada loji kuasa nuklear Fukushima yang rosak ke Lautan Pasifik Khamis lalu, mendorong China selaku rakan dagang terbesar Jepun, mengenakan larangan menyeluruh terhadap produk laut Jepun.

Kerajaan Tokyo telah menubuhkan dua dana bernilai 80 bilion yen ($547.9 juta dolar) sebagai alternatif lain untuk membantu membangunkan saluran jualan baharu dan memastikan lebihan ikan dibekukan sehingga ia boleh dijual apabila permintaan pulih.


(Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menikmati makanan laut dari Prefektur
Fukushima pada mesyuarat makan tengah hari, di Tokyo/REUTERS)

Para pegawai sebelum ini menafikan kemungkinan langkah fiskal tambahan untuk industri.

Lebih 700 syarikat Jepun mengeksport hasil laut bernilai kira-kira $600 juta dolar ke China pada 2022, menjadikannya pasaran terbesar untuk eksport Jepun, diikuti Hong Kong yang mengumumkan larangannya sendiri terhadap import makanan laut dari 10 wilayah Jepun selepas keluaran Fukushima.

Menteri Perikanan, Tetsuro Nomura berkata pada Jumaat lalu bahawa kerajaan akan mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan eksport ikan Jepun bagi produk yang bergantung kepada China seperti kerang.

China mengambil lebih separuh daripada eksport kerang Jepun pada 2022.

Beberapa pegawai Jepun juga telah memberi isyarat tindakan diplomatik untuk mendesak China menarik balik larangan itu, yang menurut Tokyo tidak berdasarkan bukti saintifik termasuk memfailkan aduan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).- REUTERS

Media Baharu