fb fb fb fb fb

Jepun, Korea Selatan keluar amaran ribut Khanun

(Taufan Khanun melanda bandar Naha,
wilayah Okinawa pada 2 Ogos 2023/Foto AFP)

TOKYO, 9 Ogos- Ratusan penerbangan terpaksa dibatalkan, selain pihak berkuasa mengeluarkan amaran pada Rabu, ketika ribut tropika Khanun melanda pantai selatan Jepun menuju Korea Selatan.

Kira-kira 16,000 isi rumah dilaporkan terputus bekalan elektrik ketika hujan lebat melanda pulau Kyushu di selatan Jepun.

Agensi Meteorologi Jepun turut memberi amaran risiko berlakunya banjir dan tanah runtuh yang mengancam nyawa di wilayah Kagoshima di pulau itu.

AFP dalam laporannya menyebut, Japan Airlines membatalkan 252 penerbangan dan menjejaskan kira-kira 25,000 penumpang, manakala Nippon Airways membatalkan 96 penerbangan yang mencecah lebih 10,000 orang.

Dalam pada itu, perkhidmatan kereta api peluru "shinkansen" Jepun dihentikan di sebahagian laluan di selatan, manakala banyak komuter tempatan dan kereta api ekspres lain dibatalkan, kata Kyushu Railway dalam satu kenyataan.

(Pokok tumbang akibat angin kencang yang dibawa oleh
Taufan Khanun di bandar Naha, wilayah Okinawa pada 2 Ogos 2023/Foto AFP)

Di Korea Selatan, taufan Khanun yang dijangka mendarat pada Khamis, telah menyebabkan hampir 80 penerbangan di 10 lapangan terbang dan berpuluh-puluh perkhidmatan feri digantung.

Seoul telah meningkatkan tahap amaran krisisnya ke tahap tertinggi, dengan taufan itu dijangka memberi "impak langsung ke seluruh negara" dari Rabu hingga Jumaat, kata Kementerian Dalam Negeri.

Ribut itu juga telah mendorong Korea Selatan memulakan pemindahan mereka yang berkhemah di Jambori Pengakap Dunia, yang sebelum ini dilanda gelombang panas.

Menteri Dalam Negeri Lee Sang-min pada Selasa berkata akan melakukan yang terbaik untuk bertindak balas terhadap taufan itu.

"Kami akan melakukan yang terbaik untuk bertindak balas terhadap taufan itu, supaya tiada kemalangan jiwa berlaku, dengan kawalan rapi dan pemindahan awal untuk kawasan berisiko tinggi seperti terowong bawah tanah dan tebing sungai," katanya.

Satu lagi taufan, Lan, sedang terbentuk di Pasifik, dengan tiupan angin sehingga 108 kph dan diunjurkan oleh Agensi Meteorologi Jepun untuk bergerak ke barat laut ke arah pulau utama Honshu dalam beberapa hari akan datang.-AFP

Media Baharu