TOKYO, 12 Jun – Jepun memandang serius tindakan jet pejuang China yang dilaporkan terbang terlalu dekat dan berbahaya menghampiri pesawat rondaan tentera Jepun di Lautan Pasifik hujung minggu lalu.
Kejadian itu berlaku selepas dua kapal induk tentera China dikesan belayar bersama buat kali pertama di Lautan Pasifik, termasuk memasuki kawasan ekonomi Jepun.
China menyifatkan pergerakan itu sebagai "latihan rutin", namun Jepun berkata ia menunjukkan pengembangan skop geografi ketenteraan Beijing.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Jepun berkata kepada AFP bahawa jet J-15 China dari kapal induk Shandong telah mengekori pesawat rondaan P-3C Jepun selama 40 minit pada Sabtu lepas, dan dua jet J-15 mengekori selama 80 minit pada Ahad.
“Sepanjang tempoh itu, jet-jet China terbang secara luar biasa rapat dengan P-3C, pada jarak hanya 45 meter dan pada altitud yang sama,” katanya.
Pada Ahad, jet tentera China terbang melintasi ruang udara hanya 900 meter di hadapan pesawat Jepun, jarak yang boleh dicapai dalam beberapa saat pada kelajuan pelayaran P-3C, menurut jurucakap tersebut.
“Pendekatan luar biasa sebegini boleh menyebabkan pelanggaran tidak disengajakan, justeru kami menyuarakan kebimbangan serius kepada pihak China dan meminta agar kejadian seperti ini tidak berulang,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Jepun.
Tiada anggota tentera Jepun dilaporkan cedera dalam insiden itu. Pesanan diplomatik tersebut disampaikan menerusi saluran diplomatik serta komunikasi antara kementerian pertahanan kedua-dua negara.
Insiden serupa kali terakhir dilaporkan lebih sedekad lalu pada Mei dan Jun 2014, apabila jet Su-27 China terbang pada jarak hanya 30 meter dari pesawat Jepun.
Sementara itu,Pengarah Program Keselamatan Ekonomi dan Inovasi Polisi di Universiti Tokyo, Daisuke Kawai, berkata masa pergerakan kapal induk itu mungkin berkaitan dengan ketegangan ekonomi antara China dan Amerika Syarikat.
“Beijing mengira bahawa AS mungkin kurang bersedia atau enggan bertindak secara ketenteraan ketika ini, dan melihatnya sebagai peluang untuk menunjukkan keupayaan ketenteraan mereka yang semakin meluas,” katanya.-AFP.