fb fb fb fb fb

Jepun digesa tangguh pelepasan air radioaktif Fukushima ke laut

(Tangki simpanan air dirawat di loji nuklear Fukushima Daiichi yang rosak
akibat tsunami di Okuma, Fukushima, Jepun/ REUTERS)

SYDNEY, 19 Januari- Negara kepulauan Pasifik menggesa Jepun menangguhkan pelepasan air daripada loji nuklear Fukushima yang musnah akibat tsunami, kerana bimbang sektor perikanan akan tercemar.

Forum Kepulauan Pasifik (PIF) yang merangkumi 17 negara pulau, bimbang pelepasan air itu bakal meninggalkan kesan besar pada kawasan tangkapan ikan yang menjadi sumber ekonomi negara berkenaan, selain menjadi sumber separuh bekalan tuna global.

Setiausaha Agung PIF, Henry Puna, berkata rantau itu bertegas bahawa air dari loji yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami, tidak boleh dilepaskan sehinggalah semua pihak mengesahkan ia selamat.

Katanya, penduduk Pasifik berterusan menanggung kesan jangka panjang akibat ujian nuklear setiap hari ketika ini, yang sebahagian besarnya berakhir di laut.

"Kita perlu menentang tindakan yang berisiko membawa kita kepada satu lagi bencana pencemaran nuklear yang besar akibat tindakan pihak lain," katanya dalam satu mesyuarat di Suva, Fiji, yang disiarkan secara langsung, semalam.

Minggu lalu, kerajaan Jepun memaklumkan, air daripada loji nuklear Fukushima yang musnah, mungkin dilepaskan ke laut sekitar musim bunga atau musim panas tahun ini, sekali gus mencetus kebimbangan dalam kalangan negara pulau, yang masih bergelut dengan legasi ujian nuklear beberapa dekad lalu.

Pada April 2021, Jepun meluluskan pelepasan lebih satu juta tan air dari loji itu ke laut selepas rawatan.

Amerika Syarikat (AS) menjalankan ujian nuklear di kepulauan Pasifik sekitar 1940an dan 1950an, menyebabkan Kepulauan Marshall terus berkempen menuntut pampasan lebih besar dari Washington berikutan kesan kesihatan dan alam sekitar yang berkekalan.

Perancis pula melaksanakan ujian bom atom di Mururoa Atoll di Polynesia Perancis di selatan Lautan Pasifik antara 1966 hingga 1996.


(Pemandangan dari udara menunjukkan tangki simpanan untuk air terawat di loji tenaga nuklear
Fukushima Daiichi yang lumpuh akibat tsunami di bandar Okuma, wilayah Fukushima, Jepun/ REUTERS)

Sementara itu, saintis Institusi Oseanografi Woods Hole, Ken Buesseler, dalam mesyuarat berkenaan memaklumkan, panel pakar PIF menggesa Jepun mempertimbangkan semula pelepasan air itu kerana langkah itu tidak disokong data, dan lebih banyak maklumat diperlukan.

Katanya, bahan radioaktif boleh bergerak ke seluruh lautan melalui arus laut dan pergerakan pasang surut air, sekali gus berisiko mencemarkan ikan dan hidupan laut lain.

Seorang jurucakap Jabatan Negara AS pula berkata, Jepun sudah meneliti beberapa pilihan untuk berdepan 'keadaan yang unik lagi mencabar'.

"Jepun sudah mempertimbangkan beberapa pilihan dan kesannya, bersikap telus dalam keputusannya, dan dilihat melaksanakan pendekatan yang selaras dengan piawaian keselamatan nuklear diperakui pada peringkat global.

"Kami menantikan penyelarasan berterusan oleh kerajaan Jepun dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang memantau keberkesanan pendekatan ini," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Luar Jepun memaklumkan, pihak berkuasa mengesahkan pelepasan air itu adalah selamat, kerana ia akan ditapis untuk menyingkirkan kebanyakan isotop, namun ia masih memiliki sejumlah tritium, isotop hidrogen yang sukar untuk diasingkan daripada air. - REUTERS

Media Baharu