TOKYO, 11 Disember - Jepun dan NATO meluahkan kebimbangan serius mengenai rondaan bersama pesawat China dan Rusia baru-baru ini, ketika ketegangan antara Tokyo dan Beijing meningkat berhubung isu Taiwan.
Ketua NATO, Mark Rutte dan Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi, bersetuju untuk mempertingkatkan komunikasi antara satu sama lain selepas insiden itu, menurut kenyataan rasmi Kementerian Pertahanan Jepun.
Menurut Tokyo, dua pesawat pengebom nuklear Tu-95 Rusia pada Selasa terbang dari Laut Jepun untuk bertemu dengan dua pesawat H-6 China di Laut China Timur, kemudian melakukan penerbangan bersama di sekitar negara itu.
Jepun menggerakkan pesawatnya sebagai tindak balas.
Korea Selatan pula memaklumkan, pesawat perang Rusia dan China turut memasuki zon pertahanan udaranya dengan Seoul juga menempatkan jet pejuang.
Beijing menegaskan rondaan itu adalah sebahagian daripada latihan tahunan bersama tentera Rusia, sementara Moscow menyifatkannya sebagai latihan rutin selama lapan jam.
Insiden pada Selasa berlaku ketika hubungan Jepun-China meruncing susulan kenyataan Perdana Menteri Sanae Takaichi mengenai Taiwan yang menimbulkan kemarahan Beijing.
Takaichi mencadangkan bulan lalu bahawa Jepun akan campur tangan secara ketenteraan sekiranya berlaku serangan China terhadap Taiwan, yang dituntut Beijing sebagai miliknya dan tidak menolak kemungkinan mengambil alih dengan kekerasan.-AFP