fb fb fb fb fb

Jeneral Luong Cuong dipilih Presiden Vietnam baharu

Foto AFP

HANOI, 21 Oktober- Parlimen Vietnam pada Isnin memilih Jeneral Luong Cuong, 67, sebagai Presiden bagi penggal 2021 hingga 2026 selepas undian dijalankan semasa sesi petang, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Naib Pengerusi Parlimen Nguyen Thi Thanh membentangkan draf resolusi bagi pihak Jawatankuasa Tetap Parlimen.

Resolusi yang mengesahkan pemilihan Cuong itu disokong oleh kesemua 440 timbalan yang hadir, merangkumi 91.67 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Parlimen.

Cuong, anggota Politburo dan Ahli Tetap Sekretariat, menggantikan Setiausaha Agung To Lam, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Parti dan Presiden Vietnam selepas Setiausaha Agung Nguyen Phu Trong meninggal dunia Julai tahun ini.

Selepas resolusi itu diluluskan, Cuong dijangka akan mengangkat sumpah jawatan.

Dilahirkan di bandar Viet Tri, wilayah utara Phu Tho, Cuong berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang pembinaan parti dan tadbir urus negara.

Beliau memulakan kerjaya ketenteraan pada 1975 dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Am Politik Tentera Rakyat Vietnam pada 2011, sebelum dilantik sebagai Pengarah pada 2016.

Cuong merupakan ahli Politburo bagi penggal ke-13 dan telah memegang jawatan penting dalam Parti, termasuk Setiausaha Jawatankuasa Pusat Parti bagi penggal ke-12 dan ke-13.

Beliau juga adalah Ahli Tetap Sekretariat Parti dan telah menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa Pusat Parti sejak penggal ke-11. - BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM