fb fb fb fb fb

Jemaah haji diingatkan sentiasa memakai pengenalan diri elak kejadian tidak diingini

MADINAH, 20 Mei- Menjelang musim Haji 1444H, jemaah haji yang bakal tiba di Madinah bermula esok diingatkan supaya sentiasa memakai pengenalan diri atau lencana yang disediakan Tabung Haji (TH) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pengurus Zon 1, Mohamad Abbas berkata, lencana yang dipakai dapat membantu jemaah sekiranya tersesat atau pengsan semasa melaksanakan ibadat tersebut.

"Yang saya nak pesan adalah apabila berada di Tanah suci mereka tidak bawa apa-apa melainkan lencana, lencana tersebut penting.

"Jadi kita minta jemaah jangan tinggalkan lencana yang dibekalkan, dipakai sepanjang masa walaupun sekadar hendak ke bilik air," kata Mohamad kepada media di sini.

Persiapan operasi di zon 1 Madinah kini telah siap dan bersedia menerima kehadiran kumpulan pertama, esok.


(Jemaah haji yang bakal tiba di Madinah bermula esok diingatkan supaya sentiasa memakai pengenalan diri atau lencana yang disediakan Tabung Haji)

Antara perkhidmatan yang akan disediakan di Zon 1 adalah khidmat bagasi, meja khidmat pelanggan, i-talk dan bilik penginapan.

Beliau juga menyarankan jemaah untuk memaksimumkan amal ibadat sepanjang berada di Madinah, berikutan kedudukan hotel-hotel yang berdekatan dengan Masjid Nabawi dan Makam Rasullullah SAW.

Setiap jemaah dijangka berada antara lima hingga enam hari di Madinah sebelum memasuki Mekah.

Sebanyak dua penginapan terdapat di Zon 1 iaitu hotel Anwar Movenpick dan Sajja Hotel, Manakala Emaar Hotel di Zon 2.

Seramai enam petugas akan membantu jemaah di Zon 1, dibantu enam pembantu tempatan atau PATUH.


Media Baharu